Isnin, 7 Mac 2011

ohh..wanita..


 ohh...wAnita...

Wanita :::: 
Akal Senipis Rambutnya.... Jangankan lelaki biasa, malah nabi pun terasa sunyi tanpa wanita...dan nabilah yang menaikkan kemuliaan wanita. Tanpa mereka, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walau pun sudah memiliki segalanya. Apakah yang kurang dan apakah yang tiada didalam syurga? Namun adam tetap rindukan hawa. Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok. Untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus, Mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus. Luruskanlah wanita dengan jalan yang ditunjuk oleh Allah, Kerana mereka diciptakan sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan darinya. Jangan cuba menjinakkan mereka dengan harta, kerana nantinya mereka semakin liar. Janganlah hiburkan mereka dengan kecantikan, kerana nantinya mereka akan semakin derita. Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal. Di situlah punca kekuatan dunia. Akal senipis rambutnya, tebalkanlah ia dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkanlah ia dengan iman... Perasaan selembut sutera, hiasilah ia dengan akhlak. Suburkanlah ia kerana dari situlah nantinya... Mereka akan lihat nilaian dan keadilan Illahi Rabbi... Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukanlah suatu kelemahan... Ia bukan diskriminasi Allah... sebaliknya di situlah kasih dan sayang Allah... Wanita yang lupa hakikat kejadiannya... Pasti tidak akan terhibur, dan tidak akan menghiburkan... Tanpa iman, ilmu dan akhlak..mereka tidak akan lurus... Bahkan akan semakin membengkok... Itulah hakikatnya supaya wanita kenal Illahi Rabbi yang maha berkuasa mencipta segalanya... Bila wanita menjadi derhaka... pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara.... Lelaki pula bukan sekadar mengharapkan ketaatan semata-mata... Tapi binalah kepimpinan melalui bimbingan... Pastikan sebelum wanita bertemu Ilahi Rabbi, selamatkan dan sempurnakanlah dirinya... Dekatkan dirinya kepada Allah SWT... Nescaya akan dipermudahkanlah Allah SWT kepentingan dunia dan akhirat dibawah pimpinanmu... Janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahra' Seandainya dirimu tidak sehebat Saidina Ali K.W.

 posted by: nurul iman subri
shared by: umi ucuk

Terdidik Kerana Sebiji Tembikai

Terdidik Kerana Sebiji Tembikai



Pada suatu hari, seorang ahli sufi yang masyhur
bernama Syaqiq Al-Balkhir telah membeli sebiji
tembikai. Kemudian dia membawa tembikai itu pulang
dan diberikan kepada isterinya. Apabila isterinya
membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah
tembikai itu tidak elok, maka marah-marahlah isteri
Syaqiq dengan keadaan tersebut.


Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya: "Kepada
siapa engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada
penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah
tembikai itu?." Terdiam isterinya mendengar
pertanyaan tersebut.


Kemudian Syaqiq teruskan lagi kata-katanya:
"Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya
terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si
pembeli juga sudah tentu mahu membeli barang yang
terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu
berharap hasil tanamannya yang terbaik juga. Maka
ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada
Pencipta buah tembikai ini.
Maka bertaqwalah
engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala
ketentuan-Nya."


Maka menangislah isteri Syaqiq. Lalu bertaubat dan
iapun redhalah dengan apa yang telah ditentukan
oleh Allah SWT.

Waalahu'Alam..
  shared by: nurul iman subri
  posted by: umi ucuk

Sabtu, 5 Mac 2011

kahwin semasa belajar



 kahwin semasa belajar? sudah puaskah anda mengembara?


“Ustaz, saya buntu memikirkan bagaimanakah caranya untuk melembutkan hati bapa saya yang degil, enggan membenarkan saya berkahwin semasa belajar. Sedangkan kami sudah bersedia dan ayah pun ilmu agamanya bukan gitu-gitu,” keluh seorang pelajar kepada saya.
“Pujuk dulu. Kalau ayah tak setuju, berhenti sebulan dua. Kemudian tanya lagi,”, saya memberikan cadangan.
“Kalau tak setuju juga?” soalnya.
“Berhenti dua tiga bulan, kemudian tanya lagi,” saya meneruskan ‘nasihat’.
“Kalau macam itu, sempatlah saya habis belajar dibuatnya!” rungut pelajar itu, bosan dengan nasihat saya.
“Baguslah. Itulah trick ustaz!” saya ketawa. 

MALAS
“Ustaz macam malas nak beri nasihat sahaja gayanya,” duga beliau.
“Memang malas pun. Banyak kali sangat cerita yang sama. Kenapa tiba-tiba sahaja ramai yang kahwin awal masa belajar setahun dua ni?” saya berterus terang.
“Eh, kenapa pula? Ustaz tak setuju ke pelajar kahwin awal? Bukan sunnah ke kahwin awal ni?” tanya beliau. Nadanya seperti tidak berpuas hati.
“Kahwin itu sunnah. Kahwin awal itu, terserah. Mungkin bagus mungkin tidak. Bergantung kepada keadaan,” saya melangsaikan penjelasan.
Beliau terdiam.
Mungkin faham dengan kebosanan saya untuk menyambung bicara tentang isu ini.
Saya tidak pernah menafikan faedah berkahwin awal. Banyak bagusnya. 
Cepat dapat sakinah.
Cepat serba serbinya.

PILIHAN PERIBADI
Tetapi jika saya diberi pilihan, berkahwin semasa belajar dan berkahwin selepas habis belajar, tanpa ada apa-apa situasi yang mendesak, maka saya akan memilih dan mencadangkan pilihan berkahwin selepas habis belajar.
“Wah, kenapa pula ustaz?” tanya seorang sahabat ketika saya berprogram di luar negara.
“Idea ini kontroversi. Dan ia khusus untuk pelajar di luar negara macam kalian sahaja. Dalam negara, ustaz tak komen apa-apa setakat ini,” saya menjawab.
“Idea apa?” soal beliau lagi. Bersemangat sekali mahu mendapatkan jawapan.
Kahwin awal ini boleh menjadikan kita lembab!” saya memberikan kenyataan.
“Haaa! Ini sudah jadi panas ni ustaz. Kahwin melembabkan? Kali pertama saya dengar. Ramai yang marah nanti ni,” katanya.
“Itu laaa. Tanya lagi. Sebenarnya hal ini berbalik kepada nature seseorang,” saya menyambung jawapan.
Nature yang bagaimana, ustaz?” soalnya lagi.
“Kalau dia seorang yang tidak adventurous, maka eloklah kahwin awal. Daripada melangut, termenung, mengulang rutin setiap kali musim belajar dan musim cuti, elok benarlah dia berkahwin. Tapi kalian duduk di luar negara, banyak perkara yang boleh diteroka, tengok dunia, pergi merantau, cabar diri! Kalau sudah berumahtangga, apatah lagi sudah beranak pinak, maka sulit sekali untuk semua benda ini nak dibuat,” saya meneruskan jawapan.
Beliau mengangguk. Rakan-rakan yang lain pun tersenyum.
withamad

PELUANG SEKALI SEUMUR HIDUP
Peluang belajar di luar negara bukan semua orang berpeluang merasainya. Malah jika belajar di dalam negara sekali pun, peluang menuntut di Menara Gading bukan peluang yang sebarangan. Usia awal 20′an ini adalah peluang yang besar untuk kita mencabar diri. Meneroka dan mencari pengalaman kehidupan.
Itu menjadi sebab utama, mengapa saya tidak langsung mempertimbangkan idea berkahwin semasa belajar. 
Bukan tidak terusik hati ini, melihat seorang demi seorang teman berumahtangga. Tambah-tambah pula di musim cuti musim panas. Arab kahwin, Melayu kahwin, semua kahwin. Minggu ini makan mansaf, minggu depan nasi beriyani dengan ayam masak merah!
Tetapi pilihan berkahwin semasa belajar, bukan untuk saya.
Ya, memang zaman belajar adalah untuk belajar. Tetapi definisi belajar itu luas. Bagi yang meletakkan pembelajarannya adalah terfokus kepada kuliah dan pengajian yang formal sahaja, maka fokuslah kepada semua itu dan berkahwin semasa belajar mungkin bisa menambah keelokan hidup belajar begitu.
paris067
Namun bagi manusia ‘bertahi lalat’ di tapak kaki seperti saya, zaman belajar itu adalah satu-satunya peluang untuk saya meluaskan horizon kehidupan. Mengembara dengan bebas ke mana-mana sahaja, secara spontan, dengan belanja yang kecil, bukan untuk melancong, tetapi untuk belajar tentang kehidupan.
Segala pengalaman yang saya perolehi dari kembara itulah yang menjadikan saya sebagai SAYA pada har ini. Saifulislam.Com yang saya coretkan hampir satu artikel sehari di musim-musim puncaknya, juga adalah hasil KEMBARA itu. Dan saya tidak dapat membayangkan kembara untuk misi dan visi begitu berlangsung dalam keadaan saya berkahwin dan beranak pinak.
Kerana sifat adventurous yang sama itu jugalah saya terpelanting ke bumi Eropah. Di sana, kebebasan semasa belum berumahtangga itu saya gunakan sepenuhnya untuk memberi dan menerima pada kehidupan di perantauan yang pengalamannya tidak mungkin dapat dibayar dengan wang ringgit. 

SARANAN MENGEMBARA
Aktiviti mengembara dianggap sebagai suatu bentuk pembelajaran yang sangat tinggi nilainya bagi sesetengah orang. Kembara itulah yang membuka matanya, membuka tempurung fikirannya, dan belajar mengenal manusia sebagai sasaran ilmu dan teori. Mengenal manusia bukan boleh sekadar membacanya di kertas, sebaliknya ia menuntut pergaulan, interaksi, komunikasi, menikmati kemanisannya, dan menyabarkan diri terhadap kesakitan akibatnya.
Mengembara itu saranan Allah:
30_42
Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang silam; kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik” [al-Room 30: 42]
Saranan yang sama disebut berulang kali oleh Allah SWT di dalam surah aal-’Imraan [3: 137], al-An’aam [6: 11], al-Nahl [16: 36], al-Naml [27: 69] dan al-’Ankaboot [29: 20]. Para Nabi dan Rasul mengembara, para sahabat Nabi SAW juga bertebaran di serata dunia, alim ulama’ mengembara dan sekalian mereka yang hidupnya ada visi dan misi besar, akan mengembara.
Kembara itu tidak terikat kepada idea merentas sempadan. Mengembara itu adalah perjalanan seorang manusia yang keluar dari zon selesa kepada zon cabaran, keluar daripada kebiasaan kepada dunia baru, keluar dari rutin seharian, kepada mencari mutiara hikmah daripada sebuah kehidupan, dan semua itu sangat sinonim dengan penuntut ilmu zaman berzaman.

BAGI YANG TIDAK
Namun, tetap aktiviti mengembara itu hanya menjadi keghairahan segelintir kita. Justeru bagi segelintir yang lain, mengembara diterjemahkan sebagai membuang masa dan harta, lagha dan tiada kepentingannya.
Terpulang…
Akan tetapi, biar pun seseorang itu tidak mengembara di usia mudanya, dia mempunyai pelbagai aktiviti berkaitan dakwah, tarbiyah, menuntut ilmu dan 1001 cabang-cabang aktivisma siang dan malam yang wajar dimanfaatkan sebanyak-banyaknya. Justeru, menangguhkan seketika plan untuk berkahwin muda, tidak merugikan apa-apa.  Ia bukan soal halal haram, tetapi soal mencari yang terbaik dalam hidup.
Tambahan pula dengan demonstrasi ketidak matangan yang dipamerkan oleh segelintir mereka yang merancang untuk berkahwin muda ini tatkala menyatakan keinginan mereka. Tidak berani bersemuka dengan ibu bapa, baru sekali cuba sudah kecewa dan berputus asa, yang mana semua ini menunjukkan kelemahan jati diri yang perlu dirawat sebelum menggalas tanggungjawab perkahwinan. Rawatan itu sebahagiannya berkait rapat dengan pendedahan diri kepada realiti kehidupan.
Mengembara dan beraktivisma adalah salah satu wasilah besarnya.

SUDAH BERSEDIA
Ketika saya mengambil keputusan untuk berumahtangga, salah satu perkara yang menjadi pertimbangan saya adalah pada kesediaan diri untuk menamatkan kembara.
Bersediakah saya?
Sudah puaskah saya berkelana?
Di pertengahan usia 20′an, beberapa kejayaan hidup yang saya capai selepas 1001 mehnah kehidupan, terasa hambar apabila kejayaan itu tidak dapat dikongsi bersama. Sebagaimana manusia paling jahat dihukum penjara agar terseksa oleh sebuah kesunyian, perasaan sunyi itulah yang menggerakkan diri saya untuk mencari teman pelengkap hidup.
Berkahwin, adalah titik pengubah corak hidup saya. 
Memang benar langkah kaki menjadi pendek, kebebasan bergerak dan membuat keputusan spontan sudah tidak mungkin berulang lagi. Tetapi ketika itu, ‘batasan’ yang terbentuk mengiringi sebuah komitmen kepada perkahwinan, bukan lagi menjadi sesuatu kekurangan kerana segalanya sudah tiba pada masanya.
Apa yang ingin saya cari, telah saya cari.
Berumahtangga adalah fasa baru untuk peningkatan hidup dan diri.
northernireland75896
Lepas kahwin pun masih boleh menulis Diari Kembara, cuma lain sedikit catatannya

Di sinilah saya katakan, bahawa jika seseorang itu ada keinginan untuk adventurous di dalam diri, maka berkahwin semasa belajar sesungguhnya akan menjadikan kita lembab. Tetapi jika seseorang itu secara peribadinya adalah seorang yang tidak menjadikan pendedahan diri kepada dunia luar sebagai salah satu agenda yang ada kepentingannya kepada diri, maka keseluruhan artikel ini tidak relevan buatnya.
“Lepas berkahwin pun boleh juga terus aktif, ustaz!” seorang pelajar mencabar teori saya.
“Hai, baru sahaja kita ‘mengumpat’ tentang sahabat-sahabat yang baru berkahwin ni, susah benar nak panggil mesyuarat, kan?” saya mengusik.
Semua ketawa. Bukan mengumpat, tetapi cuba mencari punca.
“Lagi pun, kalau nak travel, kena fikir tiket pasangan, apatah lagi campur anak-anak. Sekali travel, beribu-ribu ringgit jawabnya”, saya menambah.
“Apalah sangat travel tu, nak dibandingkan dengan nikmat beristeri dan menimang cahaya mata!” katanya penuh semangat.
“Idea ana hanya untuk mereka yang sanggup menangguhkan nikmat beristeri dan menimang cahaya mata itu dari mengecapinya pada awal 20′an kepada pertengahan 20′an, kerana ada visi dan misi tertentu”, saya mengulangi pra syarat diskusi tadi.
“Jadi, kesimpulan ustaz, berkahwin awal ini melembabkan orang macam ustaz betul tak?” katanya penuh berani.
“Haha. Betul! Cuma, apa yang dikatakan sebagai ‘orang macam ustaz’ tu, terserah kepada anta mendefinisikannya,” saya mengakhiri perbualan.

NASIHAT PERIBADI
Nasihat peribadi saya kepada adik-adik di bangku pengajian, terutamanya buat mereka yang menuntut di luar negara, gunakanlah peluang semasa belajar ini untuk meneroka kehidupan habis-habisan. Mengembara, mencari pelajaran dari sebuah pengalaman, keluar dari kelompok sebangsa seagama untuk mempelajari realiti, lakukan semua ini pada setiap detik dan masa yang terhad itu.
Justeru, selesaikanlah dulu pengajian sebelum bernikah. Dengan ibu bapa pun mudah cerita, prospek diri sebagai manusia da’i juga banyak kelebihannya.
Mungkin dengan lima tahun penangguhan keinginan berumahtangga itu, membolehkan anda menawarkan lebih banyak bahan perkongsian berupa pengalaman dan kebaikan buat diri, keluarga, masyarakat dan ummah. 
Apa yang penting, jangan tergesa-gesa, jangan bertangguh-tangguh.
Berkahwin jangan kerana terikut-ikut.
Taqlid buta dalam beragama mengundang binasa, taqlid buta dalam berumahtangga juga mengundang bencana.
Panas! Panas!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Jumaat, 4 Mac 2011

Setiap hari adalah hari ibu buat saya

Setiap hari adalah hari ibu buat saya


              Saat wajah emak tersembam ke ribaan saya dalam tangisan, saya tahu dunia tidak akan lagi seperti semalam.
“Rizal, abah kamu dah tak ada!” tangisan emak pecah dalam kata-kata itu.
Malam itu abah pergi selama-lamanya. Pergi meninggalkan kami dalam kejutan dan kebingungan. Emak jauh daripada bersedia untuk menjadi ibu tunggal kepada lima anak lelakinya yang menjadi yatim tanpa diduga. Rumah kami menjadi kapal. Hanyut di lautan tanpa tepi ketika nakhoda hilang secara tiba-tiba.
              Malam itu juga saya memapah semangat turun ke dapur untuk berwudhu’. Wajah saya basah dengan air mata. Hati bagai mahu meledakkan perasaan sedih, kecewa dan putus asa. Tetapi agama mengajar saya memaut harapan kepada yang Maha Esa. Saya membentang sejadah dan solat saya tenggelam dalam tangisan.
Emak membesarkan kami sendirian.
             Selama ini, emak menguruskan makan minum kami. Abah menjaga urusan-urusan kehidupan yang lain. Betapa abah bersungguh menjaga persekolahan dan makan minum kami, hingga abah tidak pernah membeli baju sehinggalah emak sendiri yang membeli kerana tidak betah melihat suaminya lusuh berpakaian yang sama setiap masa. Tetapi ketika abah tiada, emaklah ibu emaklah bapa. Kami lima beradik diberinya makan dan minum, dijaga biar pun ada kalanya dengan leteran dan kemarahan, agar kami menjadi manusia.
            Emak kahwinkan kami, menyambut menantu yang tidak berbapa mertua. Kenduri kahwin sentiasa pincang terasa, tetapi emak bertahan dan terus menempuh hari demi hari sendirian. Biar pun emak bukanlah seorang yang ekspresif dalam meluahkan isi hatinya, emak mencari kekuatan dalam Tahajjudnya. Amalan yang tidak pernah emak tinggalkan semenjak saya mahu mengingat semalam.
Saya berhutang budi kepada abang-abang saya.
            11 tahun di perantauan, tidak banyak yang dapat saya lakukan pada melunaskan tugas sebagai seorang anak selain doa yang tidak pernah berhenti pada setiap hari hidup bernadi. Tetapi abang-abang sayalah yang meneman, menjaga dan melindungi emak dengan sepenuh upaya. Malah selepas kembali ke negara halaman, saya masih bertarung mencari peluang untuk berbakti kepada emak, dan segalanya masih terlalu jauh daripada kesempurnaan.
Setiap hari adalah hari ibu buat saya.
            Duhai isteri dan anak-anakku, kasihilah seorang wanita tua yang semakin tua itu. Sesungguhnya diriku tiada di sisi kalian tanpanya.
            Duhai setiap insan yang mengenaliku, pada semua kebaikan dalam persahabatan kita, doakanlah untuknya kerana dialah asbab diriku menjadi temanmu.
Segalanya bermula daripada seorang…. IBU..

Bagai kerdipan lilin yang berkilau, bercahaya
Menggantikan mentari terangi malam nan gelita
Membakar diri memberikan cahaya
Membiar diri musnah terlebur
Berkorban segalanya penuh rela
Biar dimamah arus usia
Tidak pernah kenal derita
Bagai sungai kasih yang mengalir
Tiada penghentiannya, tak bertebing
Duhai ibunda kaulah anugerah istimewa
Berkorban jiwa raga redahi hidup nan mencabar
Berusaha dan sabar dalam mengharungi derita
Hidupmu penuh ranjau meniti kepayahan yang tiada kesudahan
Tidak sekali mengharapkan dibalasi permata
Cukup engkau rasa bahagia
Lihat anak-anakmu berjaya
Kau penawar hati duka
Walau hatimu terluka
Engkau ibu engkaulah bapa
Pabila ayah tiada
Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasamu
Kerana Tuhan saja yang tahu penderitaanmu
Wahai bonda


_saifulislam.com_ 

BERCINTA SAMPAI KE SYURGA

 BERCINTA SAMPAI KE SYURGA

Di sini ku berjanji disaksi rembulan
Andainya ku pergi dulu
Jikalau ku pergi dulu
Ku nantimu di pintu syurga
                Pasangan yang bercinta, mereka mencari syurga. Mencari bahagia dan kepuasan santapan jiwa. Biar runtuh awan di langit, biar gegar di lantai bumi, lautan api sanggup direnangi. Itulah kuasa cinta. Pengorbanan yang ditawarkan demi sebuah cinta, yang menjanjikan bahagia.
Tiada insan yang sengaja mencari derita. Seperti ikan mencari air, si dahaga mendamba seteguk minum, mata mengantuk mencari bantal, demikianlah setiap insan mengerumuni cinta. Demi sesuatu yang menjanjikan bahagia.
              Namun dalam asyiknya manusia bercinta, di kala itu jualah manusia semakin derita. Rumahtangga musnah, hidup berantakan. Tatkala inai masih di jari, anak belum pun sempat berdiri, tiang rumah dan tangga cinta roboh dirempuh badai.
Luar biasa…
              Mereka bukan dipaksa menerima. Kahwin itu bukan kahwin dera atau kahwin paksa. Ia adalah cinta sama cinta, suka sama suka. Jika kedua belah pihak sudah saling menerima dan kenal isi kulit pasangan sehati sejiwa, di manakah cacat di manakah celanya hingga hujan tidak sempat menunggu petang?
Bukankah syurga dunia yang dibina itu mahu dilangsungkan hingga ke Syurga Sana?
43_67
Pada hari itu teman-teman akrab setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang perhubungannya berdasarkan Taqwa [al-Dzukhruf 43: 67]
Itulah realitinya.
Bahawa biar sehangat mana pun cinta yang membakar perhubungan dua insan yang berkasih sayang, mereka akan menjadi musuh di antara satu sama lain di padang Mahsyar. Jika dahulunya mereka menolak pertolongan yang ditawarkan demi kebahagiaan sebenar, hari itu mereka pula saling bermusuh dengan permusuhan yang tidak lagi mampu ditolong.
Mengapa cinta menjadi permusuhan?
Apakah yang menguji manusia di Mahsyar hingga pasangan yang akrab menjadi musuh yang saling mementingkan diri?
Sesungguhnya Mahsyar itu mengheret manusia kepada sebuah TEKANAN. Itulah ujian terbesarnya. Segala yang didustakan selama ini terbentang di depan mata. Barulah kelihatan kesan segala perbuatan. Bahawa dunia memang sementara, namun kesan amal berkekalan selamanya. Dan hari Mahsyar itu setiap insan berada di bawah TEKANAN yang maha dahsyat.
Ibu sanggup menggadaikan anak demi untuk menyelamatkan diri.
Dua kekasih sanggup mengorbankan pasangannya demi terbebas dari seksaan yang sedang menanti.
Dalam keadaan yang begitu terdesak dan penuh tekanan, cinta berubah menjadi permusuhan. Dua kekasih saling menyerang pasangan masing-masing, mementingkan diri, demi sebuah keselamatan.
Kecuali manusia bertaqwa.
Wahai pasangan yang bermadu kasih, ingatkah kalian pada khutbah yang mengiringi lafaz AKU TERIMA NIKAHNYA suatu hari dahulu?  Tiga ayat yang dibacakan kepadamu, segalanya berbicara tentang TAQWA.
khutbahnikah
                 Pesan itu adalah pesan Tuhanmu. Pesan yang disampaikan di lisan Nabimu. Pesan yang diperpanjangkan kepada khutbah nikahmu. Bahawa tiada bahagia tanpa taqwa. Hanya derita pemusnah cinta, manusia tersungkur di pantai derita, meneguk neraka dunia sebelum Neraka di Sana.
Neraka dunia yang menghancurkan bahagia datang bersama tekanan. Ujian yang amat menghimpit beban. Soal anak, soal pekerjaan, soal keinginan, soal ketidakpuasan, soal kemahuan, soal kesangsian. Rumahtangga yang belayar di tasik madu, menjelang senja dihiris sembilu.
“Lepaskan saya. Saya sudah tidak sanggup lagi,” bentak isteri yang terbeban oleh tekanan perasaan.
“Sabarlah isteriku. Mari duduk mencari petunjuk,” pujuk suami dengan linangan air mata.
Anak-anak menggeletar terperosok di sudut gementar. Melihat ayah dan ibu bergaduh cakar mencakar.
“Bukankah kami hadir kerana cintamu?” bisik si anak kepada hatinya, merayu kepada Tuhan agar mendamaikan sepasang insan tempat dirinya berpaut hidup.
“Sudah-sudah. Tidak perlu dibincang-bincangkan lagi. Lepaskan saya. Hantarkan saya balik ke rumah emak di kampung!” si isteri terus mengamuk.
“Bagaimana dengan anak-anak kita?” suami merenung wajah anak-anak yang kebingungan. Terasa hangat pipi dihujani hiba.
“Semuanya salah abang. Sudah berapa kali saya beri peluang. Abang masih tidak berubah. Abang bekerja untuk keluarga, hingga hancur keluarga. Kalau selama ini kami bahagia tanpa abang, kenapa perlu lagi saya menderita menanti abang. Saya ada cita-cita sendiri!” si isteri mengesat wajahnya dengan lengan. Kata-katanya penuh simpang siur perasaan. Tidak pasti apa yang dimahukan.
Kecuali sebuah penceraian…
Suatu hari nanti
Kau akan tahu sucinya cintaku
Kau akan menyesal
Dan kau sebut namaku selalu
Suatu masa nanti
Kan terhurai segala rahsia
Bahawa cintaku kepadamu
Abadi selamanya
Kau akan menangis
Menatap gambarku
Gambar-gambar kita
Pasangan yang istimewa
Oleh itu kasih
Janganlah terburu
Jangan ikut rasa
Kelak jiwa kan merana
Perkara yang kecil
Jangan suka dibesar-besarkan
Perkara yang samar
Jangan pula dibenar-benarkan
Usahlah dibunuh
Kecintaan ini
Biarkan bersemi
Sampai kekal dan abadi
Lagu dan Lirik: Suhaimi Mior Hassan
                Tekanan bukan sahaja menjadikan seorang kekasih memusuhi kekasihnya di Akhirat, bahkan tekanan itu juga menghilangkan cinta tatkala menempuh kehidupan dunia. Hingga tidak sempat-sempat menuju penceraian, semata-mata ingin lari daripada sebuah tekanan.
Itulah yang banyak berlaku hari ini.
                Pelik sekali, setelah ghairah bercinta kita melangkah ke alam rumahtangga. Belum sempat anak membesar bergegas pula menuju penceraian. Dan janggal sekali, selepas bercerai barulah timbulnya damai. Boleh keluar makan bersama, boleh bergilir melayan anak-anak. Suami isteri payah serasi, biar sekadar teman yang mesra. Semuanya kerana gagalnya manusia, menguruskan tekanan, realiti kehidupan.
               Justeru wahai insan yang mabuk cinta, siasatlah benang yang menyulam kasihmu. Apakah ia sebuah taqwa, atau cinta buta yang tidak berpijak di bumi nyata?  Sesungguhnya cinta yang tidak bersendikan taqwa adalah cinta yang berakhir dengan permusuhan. Jika tidak di neraka dunia, pastinya Neraka abadi di alam Sana.
43_67i
“… kecuali orang-orang yang bertaqwa” [al-Dzukhruf 43: 67]
43_68-70
“(Mereka diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firman-Nya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan dan kamu pula tidak akan berdukacita. (Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh.(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu, dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan” [al-Dzukhruf 43: 68-70]

             Tidak mungkin Syurga di Akhirat menjadi habuan kita, andai dunia bersalut neraka. Dunia ladang Akhirat, apa yang disemai pada hidup yang sementara ini, itulah tuaian di Akhirat yang kekal abadi.
Berjuanglah berbekalkan taqwa untuk mengharungi epilog sebuah cinta, hingga terkecap syurga dunia.
Berjuanglah sampai mengecap bahagia perjuangan, rumahku syurgaku, baiti jannati
Kejayaan bukan sebuah destinasi, ia adalah sebuah perjalanan.

Bercintalah sampai ke Syurga, wahai dua insan bercinta.

-saifulislam-

Rabu, 2 Mac 2011

Nasihat abangku...

“Abang, betul ke kalau Allah sayang kita, Dia akan uji kita dengan banyak ujian?” satu soalan singgah ke peti masuk mesej telefon saya.

“Macam mana kalau tak betul?”

Kepada adikku, inilah jawapan abangmu.

Adikku,
apabila kamu persoalkan kasih sayang manusia kepada kamu, maka abang sangat berlapang dada bahawa manusia ini memang terlalu nipis lapis kasih dan sangat kecil pula kotak sayang yang mereka miliki. Banyak terjadi bayi kecil dibuang ke serata pelusuk yang tidak layak, para pemimpin pula sibuk mengeringkan tabungan rakyat laksana buaya lapar yang dahagakan mangsa.


Tetapi yang kamu persoalkan ini adalah kasih sayang Tuhan-Mu. Dia yang dengan jelas menyebut diri-Nya sebagai Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, di setiap surah di dalam Al-Qur’an. Adakah sejak abang ke sini lantas kamu juga meringankan tilawah yang wajib ini?


Jika benar, maka mari abang mengajakmu supaya kita sama-sama menyelak kembali lembaran suci yang setiap ayatnya membersihkan jiwa ini. Perhatikan, bahawa Allah telah memberi peringatan kepada kita pada ayat 36 dan 37 Surah Ar-Rum dengan firman-Nya,


“Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa. Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.”



Ujian kesempitan adalah hasil kecuaianmu


Adikku, apakah rasamu mendengarkan ayat Alllah di atas? Tidakkah kamu melihat kesenangan dan kemudahan hidup sebagai ujian Allah, sama seperti kesempitan hidup yang kamu dakwakan sedang Allah timpakan kepada kamu sekarang?


Fikirkan juga wahai adikku, semua kesusahan yang kamu deritakan ini hanyalah berpunca dari kelalaianmu sendiri. Kamu gagal mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaanmu, bukankah itu natijah dari kemalasan dan kekurangan strategimu dalam mengulangkaji pelajaran? Atau kamu masih angkuh menafikannya?


Kemudian, kamu sibuk mengatakan ummi asyik marahkan kamu, kawan-kawan pula gemar menaikkan darahmu, kenanglah semula wahai adikku. Sejauh mana kamu berakhlak dengan mereka? Apakah kamu benar-benar berlaku adil dengan mereka? Bahkan sekalipun kamu sudah berakhlak sebaiknya dengan mereka, sepatutnya kamu ingat kepada baginda Nabi sebagai manusia yang luar biasa akhlaknya tetap juga dilukai manusia.


Namun, jika ujianmu benar terlalu berat, tiada apa yang dapat abang nasihatkanmu melainkan mengajakmu supaya sentiasa bersabar. Bersabar, bersabar, dan teruslah bersabar kerana untuk orang-orang yang bersabar, ganjarannya adalah seinfiniti pahala. Itu janji Tuhan. Bersabarlah kerana deritamu ini sangat sedikit berbanding kehidupan akhirat nanti. Adakah dapat kamu bayangkan kesusahan dunia sekitar empat, lima tahun, puluhan tahun sekalipun jika dibandingkan dengan kebahagiaan akhirat yang tahunnya tidak akan habis?


Hidup ini bukanlah selama-lamanya, bahkan bukan lama pun. Apabila sudah hidup, maka bersedialah pula untuk mati. Ingatlah kepada kematian, fikirkanlah tentang akhirat, kamu akan insaf nanti.



Ujian ini nikmat keimanan


Adikku, tidakkah kamu mengaku bahawa kamu ini orang beriman. Sedangkan jika benar, pastinya kamu pernah mendengar firman Allah ini,


“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 3 dan 4.


Sekarang, persoalkan dirimu sendiri, mana bukti keimananmu? Adakah layak kamu mengaku beriman kepada Allah, kepada rasul-Nya, sedangkan kamu tidak yakin bahawa ujian ini daripada-Nya untuk menguji keimananmu?


Para sahabat nabi, mereka membenarkan iman mereka dengan menyediakan leher-leher mereka di medan perang untuk mengembangkan Islam. Bahkan seluruh para tabiin, hidup mereka tiada keseronokan melainkan dalam keasyikan bersama ujian dan tarbiyah daripada Allah. Maka jika ini menjadi bukti keimanan mereka, mengapa kita tidak sanggup membuktikan keimanan dengan menghadapi ujian hidup ini bersama kesabaran terhebat yang mampu kita persembahkan?



Alangkah baiknya bahawa yang mengatur adalah Allah.


Adik, hidup kita semalam, pagi tadi, dan sekarang Allah yang atur. Malah kalau kita mati sekejap lagi, itu pun Allah yang atur. Bukankah sangat baiknya hidup kita ini yang mengaturnya adalah Allah?


Atau fikirmu bahawa kamu sendiri dapat mengaturkan hidupmu dengan cara yang kamu sendiri mahu? Urusan kebahagianmu kamu uruskan sepenuhnya, tanpa cahaya petunjuk daripada Allah. Begitukah yang kamu mahu?


Jika kamu menjawab tidak, maka kembalikanlah keyakinanmu. Tuhan tidak mengujimu dengan sia-sia. Bahkan dia merancang untuk kamu kebaikan yang tidak dapat kamu bayangkan.


Pernah suatu hari Saiyidina Umar datang menghadap nabi dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu apabila dia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan, dia terus mengambil bayi itu lalu mendakapkannya ke perut untuk disusui.


Lalu Rasulullah saw. bersabda: Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? Para sahabat menjawab: Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya. Rasulullah saw. bersabda: Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya.


Adik, ummi sayangkan kamu pun tidak sampai 0.001 peratus daripada Tuhan sayangkan kamu!