Isnin, 9 Mei 2011

Peristiwa Subuh...

Peristiwa Subuh...  

Sayup-sayup kedengaran laungan azan tatkala hening pagi, laungan mengajak manusia untuk menunaikan solat itu sungguh merdu sekali. Namun, kemerduan suara itu seolah-olah mendodoikan aku yang sedang lena diulit mimpi. Aku sedar, aku dengar, aku tahu itu azan, laungan memanggilku menunaikan solat. Tapi, Dwi gabungan pakatan kejahatan, syaitan dan nafsu terlebih dahulu memekakkan telingaku, disumbatnya rongga telinga itu dengan bisikan-bisikan jijik, "Alangkah enaknya kalau kau teruskan tidurmu itu wahai manusia.. Tidurlah.. Kau penat bekerja disiang hari, berhempas pulas berusaha untuk mencari sesuap nasi.. Apa salahnya kau berehat sedikit?"
Biasa dengar alasan ini? Bukankah ini alasan kalian juga wahai saudaraku? Usah tipulah. Aku manusia. Kau juga manusia. Punyai kawan bernama syaitan.. Punyai hati bersalut nafsu. Tewas muslim itu pagi ini. Syaitan bukan setakat bertepuk tangan, bersorak, menari, berguling, ketawa meraikan kecemerlangan mereka. Usaha mereka membuahkan hasil. Muslim tadi kembali menarik kulit babi yang tadinya terselak sedikit. "Biarlah.. Aku penatlah hari ini.."
Disatu tempat yang lain, sayup-sayup kedengaran laungan azan tatkala hening pagi, laungan mengajak manusia untuk menunaikan solat itu sungguh merdu sekali. Kemerduan itu bagaikan hembusan yang amat kuat menerpa telingaku. Aku sedar, aku dengar, aku tahu itu azan, laungan memanggilku menunaikan solat. Lalu, aku bingkas bangkit. Digosok-gosok mata ini. Terkebil-kebil ke kiri. Terkebil-kebil ke kanan. Alhamdulillah. Syukur. Allah tiupkan roh ku kembali pada tubuhku. Lenguh rasanya badan ini. Sengal di sini. Sengal di sana. Penatnya seharian berkerja semalam masih tak hilang lagi. Pakatan tanpa senjata itu muncul lagi, Syaitan memulakan rutinnya seperti biasa. "Dah tahu penat tu tidur jelah. Rehatkan dirimu dulu wahai manusia. Badanmu lenguh, penatmu masih belum hilang lagi. Tidurlah dulu. Kemudian bangunlah semula." Arggghh! Nafsu tidurku membuas lagi. Mengantuknyaa. Biarlah. Aku impikan ganjaran 27 kali ganda itu. Aku impikan melalui titian sirat sepantas kilat. Telapak kaki ini mencecah ke lantai simen yang sejuk. Burrr. Dinginnya. Ahh. Pedulikan! Menujulah aku kerumah Allah yang satu.
Yang mana satu dikau wahai manusia? Pilihlah. Kita serupa. Punyai nafsu. Punyai kawan bernama syaitan. Tapi iman yang membezakan kita. Tinggi ke rendah?? Laratkah kita menjadi singa Allah yang mengaum sedangkan menghalang menguap pun tak mampu?? Sahabat2 seperjuangan, berapa byk nikmat Allah yg kita kecapi hari ini?? Demi Allah! Semuanya tidak terhitung! Apalah salahnya dkorbankan saat kelazatan tidur di kala subuh utk berjemaah?Ingat! Selangkah kita rapat padaNYA, seribu langkah Allah rapat pada kita. Allahu rabbi.

ku rindu....

ku rindu...

Wahai diri...
Ku rindu akan diriku yang dahulu

Yang kurang bicaranya

Yang kurang marahnya
Yang kurang tawanya
Yang kurang jenakanya


Wahai diri...
Ku rindu akan diriku yang dahulu
Yang banyak sabarnya
Yang banyak diamnya

Wahai diri...

Ku ingin berubah
Bukan menjadi yang dahulu

Bukan juga yang sekarang
Ku ingin lakukan anjakan


Wahai diri...
Kuatkan azam, tingkatkan usaha
Ada ALLAH yang sentiasa bersamamu


Wahai sahabat...
Bantulah aku, tegurlah aku

Aku ingin berubah
Menjadi hamba yang solehah


Amin...

sahabat......................jangan tinggal daku...:(

Doaku sentiasa Untukmu Sahabat...

Doaku sentiasa Untukmu Sahabat...

Ahmad dan Ali adalah dua orang sahabat baik dan mereka tinggal berjiran. Kedua-duanya hidup dalam kemiskinan dan kesempitan. Setelah seharian berusaha, masing-masing akan berdoa. Begitulah kelaziman mereka berdua. Mereka akan singgah di masjid setiap kali habis bekerja untuk solat dan berdoa.

"Apakah doamu pada hari ini?" tanya Ahmad kepada sahabatnya, Ali.
"Aku berdoa agar esok hari aku dimurahkan rezeki. Bulan ini perbelanjaanku lebih daripada biasa," jawab Ali.
"Doamu?" Ali pula bertanya kepada Ahmad. Ahmad hany tersenyum tanpa berkata apa.

Keesokan harinya, Ali memberitahu Ahmad berita gembira. "Alhamdulillah, doaku semalam telah dimakbulkan Allah. Majikanku beri bonus pada hari ini."
"Alhamdulillah, hari ini kau akan berdoa apa pula?" tanya Ahmad.
"Aku berdoa moga isteriku selamat bersalin." jawab Ali.
Mereka berdua pun masuk ke dalam masjid lalu mengerjakan solat serta berdoa.

Sejurus usai berdoa, Ali bertanya, "Kau pula berdoa untuk apa hari ini?".
Ahmad tersenyum, masih tidak menjawab.
Beberapa hari kemudian, Ali memberitahu berita gembira. "Syukur isteriku selamat bersalin malam tadi. Nampaknya doaku makbul, Mad."
"Alhamdulillah... Tahniah, Ali."
"Aku berdoa juga agar anakku selamat," kata Ahmad dengan wajah muram.
"Kenapa dengan anakmu?"
"Anakku yang bongsu sakit, Ali. Keadaannya amat membimbangkan."
"InsyaALLAH, kau doalah kuat-kuat sikit. Minta anakmu selamat," kata Ali.

Beberapa hari kemudian, mereka berbual seusai solat seperti kebiasaannya.
"Bagaimana dengan anakmu?" tany Ali.
"Macam itu juga. Sudah beberapa hari tapi keadaannya cuma bertambah baik sedikit sahaja."
"Doa banyak lagi Ahmad. Aku tidak sangka doaku sangat makbul. Hampir setiap yang aku doakan mustajab. Tapi kau......"
"Kenapa dengan aku?"
"Mad, aku lihat Ahmad doamu tidak mustajab." Ahmad tersenyum...
Melihat Ahmad tersenyum, Ali semakin hairan lalu bertanya lagi, "Aku hairan, doamu tidak mustajab."
"Sebenarnya doaku telah banyak dimakbulkan Allah. Syukur Alhamdulillah."
"Doa yang mana? Sebab aku lihat tiada tidak ada apa-apa perubahan pada kau."
"Doaku sejak dulu hanya untukmu sahabatku. Setiap hari aku berdoa agar Allah makbulkan setiap apa yang kau doakan padaNYA.

Cerita dipetik daripada Majalah Solusi Isu 22...

sahabat2..

Hidup ini perlu banyak memberi kerana sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat kepada manusia yang lain. Dan tidak semestinya pemberian itu hanya dari sudut kebendaan, doa adalah pemberian yang sangat berharga, lebih-lebih lagi doa yang tidak diketahui oleh penerimanya. Banyakkan bersyukur dengan apa yang kita ada, mungkin apa yang kita miliki sekarang adalah daripada doa orang lain kepada kita...oleh itu sahabat,sentiasalah berterima kasih kpd sahabat yg sgt baik kpd kita..mungkin apa yg kita kecapi selama ini mungkin keberkatan dan maqbulnya doa dari 'sahabat' kita...amiinn..

shared by: nurul iman subri

Khamis, 14 April 2011

mati menyebut ROKOK..ROKOK...!!! nauzubillah...

n
Assalamualaikum..kisah ini baru shj diceritakan oleh baba saya tadi...

            Kisah ini berlaku minggu lepas di madinah..selesai imam Huzaifi mengimamkan solat di masjid...ada seorang hamba Allah didatangi malaikat maut utk mencabut nyawanya...semua orang mengajar dan mengucapkan kepadanya لااله الا الله محمدا رسول الله.......malangnya....lelaki tersebut menyebut   دخان.....دخان......دخان   (rokok....rokok.....rokok....)

             Lalu lelaki tersebut mati dalam keadaan menyebut rokok....rokok....tanpa menyebut لااله الا الله محمدا رسول الله
Kisah ini sedang tersebar luas di madinah dan menjadi isu kpd pendakwah2 di sana utk menyebarkan dakwah mereka...

             Saudara ku di luar sana...adakah kalian mahu mati dlm keadaan begini? sudah jelas hukum merokok memudhoratkan manusia, dan islam melarang keras dan hukumnya haram di sisi syarak...cuba anda nyatakan sebab @ kebaikan merokok kpd saya???? sudah pasti tiada alasan @ bukti yg munasabah dan diterima dek akal tentang kebaikan merokok..

              Malahan dari logik pandangan biasa, kita membeli rokok menggunakan wang ringgit, lalu dinyalakan lighter lalu menyala lah api di sumbu rokok tersebut....manusia jenis apa ini? membakar duit...lalu yg disedut asap merbahaya ke dalam badan,sedikitpun tidak memberi faedah...lalu selepas 10 tahun atau lebih,datanglah penyakit kronik dan bermacam2 lagi..lalu tiada harapan utk sembuh,dan anda mahu mati dlm keadaan begini??? nauzubillah....saudara, api juga sgt disukai oleh jin...fikir2kan...adakah anda bersahabat dgn jin..??

             Saya merayu semua di luar sana..yg muda/tua,pelajar/guru,adik/abang,anak/ayah,
lelaki/perempuan....berhentilah lah merokok...ayuh,tinggallah ia..!!!..seseungguhnya, tidak ada sedikit pun kebaikan padanya...

           Untuk saudara-saudaraku yg belum merokok,yg belum terbiasa melakukan kebiasaan buruk ini,dan dikhawatirkan akan disesatkan oleh manusia2 dan jin di kemudian hari hingga anda menjadi perokok...ayuh,jauhilah dari seburuk2 teman seperti itu..

            Semoga coretan singkat ini menjadi wacana syarak dan ilmiah yang akan membawa pencerahan menuju hidup yang lebih bererti dan diredhoi Allah...

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang menyucikan diri..." (QS. al-baqarah [2] : 222)


posted by: nurul iman subri

Isnin, 7 Mac 2011

ohh..wanita..


 ohh...wAnita...

Wanita :::: 
Akal Senipis Rambutnya.... Jangankan lelaki biasa, malah nabi pun terasa sunyi tanpa wanita...dan nabilah yang menaikkan kemuliaan wanita. Tanpa mereka, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walau pun sudah memiliki segalanya. Apakah yang kurang dan apakah yang tiada didalam syurga? Namun adam tetap rindukan hawa. Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok. Untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus, Mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus. Luruskanlah wanita dengan jalan yang ditunjuk oleh Allah, Kerana mereka diciptakan sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan darinya. Jangan cuba menjinakkan mereka dengan harta, kerana nantinya mereka semakin liar. Janganlah hiburkan mereka dengan kecantikan, kerana nantinya mereka akan semakin derita. Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal. Di situlah punca kekuatan dunia. Akal senipis rambutnya, tebalkanlah ia dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkanlah ia dengan iman... Perasaan selembut sutera, hiasilah ia dengan akhlak. Suburkanlah ia kerana dari situlah nantinya... Mereka akan lihat nilaian dan keadilan Illahi Rabbi... Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukanlah suatu kelemahan... Ia bukan diskriminasi Allah... sebaliknya di situlah kasih dan sayang Allah... Wanita yang lupa hakikat kejadiannya... Pasti tidak akan terhibur, dan tidak akan menghiburkan... Tanpa iman, ilmu dan akhlak..mereka tidak akan lurus... Bahkan akan semakin membengkok... Itulah hakikatnya supaya wanita kenal Illahi Rabbi yang maha berkuasa mencipta segalanya... Bila wanita menjadi derhaka... pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara.... Lelaki pula bukan sekadar mengharapkan ketaatan semata-mata... Tapi binalah kepimpinan melalui bimbingan... Pastikan sebelum wanita bertemu Ilahi Rabbi, selamatkan dan sempurnakanlah dirinya... Dekatkan dirinya kepada Allah SWT... Nescaya akan dipermudahkanlah Allah SWT kepentingan dunia dan akhirat dibawah pimpinanmu... Janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahra' Seandainya dirimu tidak sehebat Saidina Ali K.W.

 posted by: nurul iman subri
shared by: umi ucuk

Terdidik Kerana Sebiji Tembikai

Terdidik Kerana Sebiji Tembikai



Pada suatu hari, seorang ahli sufi yang masyhur
bernama Syaqiq Al-Balkhir telah membeli sebiji
tembikai. Kemudian dia membawa tembikai itu pulang
dan diberikan kepada isterinya. Apabila isterinya
membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah
tembikai itu tidak elok, maka marah-marahlah isteri
Syaqiq dengan keadaan tersebut.


Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya: "Kepada
siapa engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada
penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah
tembikai itu?." Terdiam isterinya mendengar
pertanyaan tersebut.


Kemudian Syaqiq teruskan lagi kata-katanya:
"Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya
terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si
pembeli juga sudah tentu mahu membeli barang yang
terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu
berharap hasil tanamannya yang terbaik juga. Maka
ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada
Pencipta buah tembikai ini.
Maka bertaqwalah
engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala
ketentuan-Nya."


Maka menangislah isteri Syaqiq. Lalu bertaubat dan
iapun redhalah dengan apa yang telah ditentukan
oleh Allah SWT.

Waalahu'Alam..
  shared by: nurul iman subri
  posted by: umi ucuk

Sabtu, 5 Mac 2011

kahwin semasa belajar



 kahwin semasa belajar? sudah puaskah anda mengembara?


“Ustaz, saya buntu memikirkan bagaimanakah caranya untuk melembutkan hati bapa saya yang degil, enggan membenarkan saya berkahwin semasa belajar. Sedangkan kami sudah bersedia dan ayah pun ilmu agamanya bukan gitu-gitu,” keluh seorang pelajar kepada saya.
“Pujuk dulu. Kalau ayah tak setuju, berhenti sebulan dua. Kemudian tanya lagi,”, saya memberikan cadangan.
“Kalau tak setuju juga?” soalnya.
“Berhenti dua tiga bulan, kemudian tanya lagi,” saya meneruskan ‘nasihat’.
“Kalau macam itu, sempatlah saya habis belajar dibuatnya!” rungut pelajar itu, bosan dengan nasihat saya.
“Baguslah. Itulah trick ustaz!” saya ketawa. 

MALAS
“Ustaz macam malas nak beri nasihat sahaja gayanya,” duga beliau.
“Memang malas pun. Banyak kali sangat cerita yang sama. Kenapa tiba-tiba sahaja ramai yang kahwin awal masa belajar setahun dua ni?” saya berterus terang.
“Eh, kenapa pula? Ustaz tak setuju ke pelajar kahwin awal? Bukan sunnah ke kahwin awal ni?” tanya beliau. Nadanya seperti tidak berpuas hati.
“Kahwin itu sunnah. Kahwin awal itu, terserah. Mungkin bagus mungkin tidak. Bergantung kepada keadaan,” saya melangsaikan penjelasan.
Beliau terdiam.
Mungkin faham dengan kebosanan saya untuk menyambung bicara tentang isu ini.
Saya tidak pernah menafikan faedah berkahwin awal. Banyak bagusnya. 
Cepat dapat sakinah.
Cepat serba serbinya.

PILIHAN PERIBADI
Tetapi jika saya diberi pilihan, berkahwin semasa belajar dan berkahwin selepas habis belajar, tanpa ada apa-apa situasi yang mendesak, maka saya akan memilih dan mencadangkan pilihan berkahwin selepas habis belajar.
“Wah, kenapa pula ustaz?” tanya seorang sahabat ketika saya berprogram di luar negara.
“Idea ini kontroversi. Dan ia khusus untuk pelajar di luar negara macam kalian sahaja. Dalam negara, ustaz tak komen apa-apa setakat ini,” saya menjawab.
“Idea apa?” soal beliau lagi. Bersemangat sekali mahu mendapatkan jawapan.
Kahwin awal ini boleh menjadikan kita lembab!” saya memberikan kenyataan.
“Haaa! Ini sudah jadi panas ni ustaz. Kahwin melembabkan? Kali pertama saya dengar. Ramai yang marah nanti ni,” katanya.
“Itu laaa. Tanya lagi. Sebenarnya hal ini berbalik kepada nature seseorang,” saya menyambung jawapan.
Nature yang bagaimana, ustaz?” soalnya lagi.
“Kalau dia seorang yang tidak adventurous, maka eloklah kahwin awal. Daripada melangut, termenung, mengulang rutin setiap kali musim belajar dan musim cuti, elok benarlah dia berkahwin. Tapi kalian duduk di luar negara, banyak perkara yang boleh diteroka, tengok dunia, pergi merantau, cabar diri! Kalau sudah berumahtangga, apatah lagi sudah beranak pinak, maka sulit sekali untuk semua benda ini nak dibuat,” saya meneruskan jawapan.
Beliau mengangguk. Rakan-rakan yang lain pun tersenyum.
withamad

PELUANG SEKALI SEUMUR HIDUP
Peluang belajar di luar negara bukan semua orang berpeluang merasainya. Malah jika belajar di dalam negara sekali pun, peluang menuntut di Menara Gading bukan peluang yang sebarangan. Usia awal 20′an ini adalah peluang yang besar untuk kita mencabar diri. Meneroka dan mencari pengalaman kehidupan.
Itu menjadi sebab utama, mengapa saya tidak langsung mempertimbangkan idea berkahwin semasa belajar. 
Bukan tidak terusik hati ini, melihat seorang demi seorang teman berumahtangga. Tambah-tambah pula di musim cuti musim panas. Arab kahwin, Melayu kahwin, semua kahwin. Minggu ini makan mansaf, minggu depan nasi beriyani dengan ayam masak merah!
Tetapi pilihan berkahwin semasa belajar, bukan untuk saya.
Ya, memang zaman belajar adalah untuk belajar. Tetapi definisi belajar itu luas. Bagi yang meletakkan pembelajarannya adalah terfokus kepada kuliah dan pengajian yang formal sahaja, maka fokuslah kepada semua itu dan berkahwin semasa belajar mungkin bisa menambah keelokan hidup belajar begitu.
paris067
Namun bagi manusia ‘bertahi lalat’ di tapak kaki seperti saya, zaman belajar itu adalah satu-satunya peluang untuk saya meluaskan horizon kehidupan. Mengembara dengan bebas ke mana-mana sahaja, secara spontan, dengan belanja yang kecil, bukan untuk melancong, tetapi untuk belajar tentang kehidupan.
Segala pengalaman yang saya perolehi dari kembara itulah yang menjadikan saya sebagai SAYA pada har ini. Saifulislam.Com yang saya coretkan hampir satu artikel sehari di musim-musim puncaknya, juga adalah hasil KEMBARA itu. Dan saya tidak dapat membayangkan kembara untuk misi dan visi begitu berlangsung dalam keadaan saya berkahwin dan beranak pinak.
Kerana sifat adventurous yang sama itu jugalah saya terpelanting ke bumi Eropah. Di sana, kebebasan semasa belum berumahtangga itu saya gunakan sepenuhnya untuk memberi dan menerima pada kehidupan di perantauan yang pengalamannya tidak mungkin dapat dibayar dengan wang ringgit. 

SARANAN MENGEMBARA
Aktiviti mengembara dianggap sebagai suatu bentuk pembelajaran yang sangat tinggi nilainya bagi sesetengah orang. Kembara itulah yang membuka matanya, membuka tempurung fikirannya, dan belajar mengenal manusia sebagai sasaran ilmu dan teori. Mengenal manusia bukan boleh sekadar membacanya di kertas, sebaliknya ia menuntut pergaulan, interaksi, komunikasi, menikmati kemanisannya, dan menyabarkan diri terhadap kesakitan akibatnya.
Mengembara itu saranan Allah:
30_42
Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang silam; kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik” [al-Room 30: 42]
Saranan yang sama disebut berulang kali oleh Allah SWT di dalam surah aal-’Imraan [3: 137], al-An’aam [6: 11], al-Nahl [16: 36], al-Naml [27: 69] dan al-’Ankaboot [29: 20]. Para Nabi dan Rasul mengembara, para sahabat Nabi SAW juga bertebaran di serata dunia, alim ulama’ mengembara dan sekalian mereka yang hidupnya ada visi dan misi besar, akan mengembara.
Kembara itu tidak terikat kepada idea merentas sempadan. Mengembara itu adalah perjalanan seorang manusia yang keluar dari zon selesa kepada zon cabaran, keluar daripada kebiasaan kepada dunia baru, keluar dari rutin seharian, kepada mencari mutiara hikmah daripada sebuah kehidupan, dan semua itu sangat sinonim dengan penuntut ilmu zaman berzaman.

BAGI YANG TIDAK
Namun, tetap aktiviti mengembara itu hanya menjadi keghairahan segelintir kita. Justeru bagi segelintir yang lain, mengembara diterjemahkan sebagai membuang masa dan harta, lagha dan tiada kepentingannya.
Terpulang…
Akan tetapi, biar pun seseorang itu tidak mengembara di usia mudanya, dia mempunyai pelbagai aktiviti berkaitan dakwah, tarbiyah, menuntut ilmu dan 1001 cabang-cabang aktivisma siang dan malam yang wajar dimanfaatkan sebanyak-banyaknya. Justeru, menangguhkan seketika plan untuk berkahwin muda, tidak merugikan apa-apa.  Ia bukan soal halal haram, tetapi soal mencari yang terbaik dalam hidup.
Tambahan pula dengan demonstrasi ketidak matangan yang dipamerkan oleh segelintir mereka yang merancang untuk berkahwin muda ini tatkala menyatakan keinginan mereka. Tidak berani bersemuka dengan ibu bapa, baru sekali cuba sudah kecewa dan berputus asa, yang mana semua ini menunjukkan kelemahan jati diri yang perlu dirawat sebelum menggalas tanggungjawab perkahwinan. Rawatan itu sebahagiannya berkait rapat dengan pendedahan diri kepada realiti kehidupan.
Mengembara dan beraktivisma adalah salah satu wasilah besarnya.

SUDAH BERSEDIA
Ketika saya mengambil keputusan untuk berumahtangga, salah satu perkara yang menjadi pertimbangan saya adalah pada kesediaan diri untuk menamatkan kembara.
Bersediakah saya?
Sudah puaskah saya berkelana?
Di pertengahan usia 20′an, beberapa kejayaan hidup yang saya capai selepas 1001 mehnah kehidupan, terasa hambar apabila kejayaan itu tidak dapat dikongsi bersama. Sebagaimana manusia paling jahat dihukum penjara agar terseksa oleh sebuah kesunyian, perasaan sunyi itulah yang menggerakkan diri saya untuk mencari teman pelengkap hidup.
Berkahwin, adalah titik pengubah corak hidup saya. 
Memang benar langkah kaki menjadi pendek, kebebasan bergerak dan membuat keputusan spontan sudah tidak mungkin berulang lagi. Tetapi ketika itu, ‘batasan’ yang terbentuk mengiringi sebuah komitmen kepada perkahwinan, bukan lagi menjadi sesuatu kekurangan kerana segalanya sudah tiba pada masanya.
Apa yang ingin saya cari, telah saya cari.
Berumahtangga adalah fasa baru untuk peningkatan hidup dan diri.
northernireland75896
Lepas kahwin pun masih boleh menulis Diari Kembara, cuma lain sedikit catatannya

Di sinilah saya katakan, bahawa jika seseorang itu ada keinginan untuk adventurous di dalam diri, maka berkahwin semasa belajar sesungguhnya akan menjadikan kita lembab. Tetapi jika seseorang itu secara peribadinya adalah seorang yang tidak menjadikan pendedahan diri kepada dunia luar sebagai salah satu agenda yang ada kepentingannya kepada diri, maka keseluruhan artikel ini tidak relevan buatnya.
“Lepas berkahwin pun boleh juga terus aktif, ustaz!” seorang pelajar mencabar teori saya.
“Hai, baru sahaja kita ‘mengumpat’ tentang sahabat-sahabat yang baru berkahwin ni, susah benar nak panggil mesyuarat, kan?” saya mengusik.
Semua ketawa. Bukan mengumpat, tetapi cuba mencari punca.
“Lagi pun, kalau nak travel, kena fikir tiket pasangan, apatah lagi campur anak-anak. Sekali travel, beribu-ribu ringgit jawabnya”, saya menambah.
“Apalah sangat travel tu, nak dibandingkan dengan nikmat beristeri dan menimang cahaya mata!” katanya penuh semangat.
“Idea ana hanya untuk mereka yang sanggup menangguhkan nikmat beristeri dan menimang cahaya mata itu dari mengecapinya pada awal 20′an kepada pertengahan 20′an, kerana ada visi dan misi tertentu”, saya mengulangi pra syarat diskusi tadi.
“Jadi, kesimpulan ustaz, berkahwin awal ini melembabkan orang macam ustaz betul tak?” katanya penuh berani.
“Haha. Betul! Cuma, apa yang dikatakan sebagai ‘orang macam ustaz’ tu, terserah kepada anta mendefinisikannya,” saya mengakhiri perbualan.

NASIHAT PERIBADI
Nasihat peribadi saya kepada adik-adik di bangku pengajian, terutamanya buat mereka yang menuntut di luar negara, gunakanlah peluang semasa belajar ini untuk meneroka kehidupan habis-habisan. Mengembara, mencari pelajaran dari sebuah pengalaman, keluar dari kelompok sebangsa seagama untuk mempelajari realiti, lakukan semua ini pada setiap detik dan masa yang terhad itu.
Justeru, selesaikanlah dulu pengajian sebelum bernikah. Dengan ibu bapa pun mudah cerita, prospek diri sebagai manusia da’i juga banyak kelebihannya.
Mungkin dengan lima tahun penangguhan keinginan berumahtangga itu, membolehkan anda menawarkan lebih banyak bahan perkongsian berupa pengalaman dan kebaikan buat diri, keluarga, masyarakat dan ummah. 
Apa yang penting, jangan tergesa-gesa, jangan bertangguh-tangguh.
Berkahwin jangan kerana terikut-ikut.
Taqlid buta dalam beragama mengundang binasa, taqlid buta dalam berumahtangga juga mengundang bencana.
Panas! Panas!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Jumaat, 4 Mac 2011

Setiap hari adalah hari ibu buat saya

Setiap hari adalah hari ibu buat saya


              Saat wajah emak tersembam ke ribaan saya dalam tangisan, saya tahu dunia tidak akan lagi seperti semalam.
“Rizal, abah kamu dah tak ada!” tangisan emak pecah dalam kata-kata itu.
Malam itu abah pergi selama-lamanya. Pergi meninggalkan kami dalam kejutan dan kebingungan. Emak jauh daripada bersedia untuk menjadi ibu tunggal kepada lima anak lelakinya yang menjadi yatim tanpa diduga. Rumah kami menjadi kapal. Hanyut di lautan tanpa tepi ketika nakhoda hilang secara tiba-tiba.
              Malam itu juga saya memapah semangat turun ke dapur untuk berwudhu’. Wajah saya basah dengan air mata. Hati bagai mahu meledakkan perasaan sedih, kecewa dan putus asa. Tetapi agama mengajar saya memaut harapan kepada yang Maha Esa. Saya membentang sejadah dan solat saya tenggelam dalam tangisan.
Emak membesarkan kami sendirian.
             Selama ini, emak menguruskan makan minum kami. Abah menjaga urusan-urusan kehidupan yang lain. Betapa abah bersungguh menjaga persekolahan dan makan minum kami, hingga abah tidak pernah membeli baju sehinggalah emak sendiri yang membeli kerana tidak betah melihat suaminya lusuh berpakaian yang sama setiap masa. Tetapi ketika abah tiada, emaklah ibu emaklah bapa. Kami lima beradik diberinya makan dan minum, dijaga biar pun ada kalanya dengan leteran dan kemarahan, agar kami menjadi manusia.
            Emak kahwinkan kami, menyambut menantu yang tidak berbapa mertua. Kenduri kahwin sentiasa pincang terasa, tetapi emak bertahan dan terus menempuh hari demi hari sendirian. Biar pun emak bukanlah seorang yang ekspresif dalam meluahkan isi hatinya, emak mencari kekuatan dalam Tahajjudnya. Amalan yang tidak pernah emak tinggalkan semenjak saya mahu mengingat semalam.
Saya berhutang budi kepada abang-abang saya.
            11 tahun di perantauan, tidak banyak yang dapat saya lakukan pada melunaskan tugas sebagai seorang anak selain doa yang tidak pernah berhenti pada setiap hari hidup bernadi. Tetapi abang-abang sayalah yang meneman, menjaga dan melindungi emak dengan sepenuh upaya. Malah selepas kembali ke negara halaman, saya masih bertarung mencari peluang untuk berbakti kepada emak, dan segalanya masih terlalu jauh daripada kesempurnaan.
Setiap hari adalah hari ibu buat saya.
            Duhai isteri dan anak-anakku, kasihilah seorang wanita tua yang semakin tua itu. Sesungguhnya diriku tiada di sisi kalian tanpanya.
            Duhai setiap insan yang mengenaliku, pada semua kebaikan dalam persahabatan kita, doakanlah untuknya kerana dialah asbab diriku menjadi temanmu.
Segalanya bermula daripada seorang…. IBU..

Bagai kerdipan lilin yang berkilau, bercahaya
Menggantikan mentari terangi malam nan gelita
Membakar diri memberikan cahaya
Membiar diri musnah terlebur
Berkorban segalanya penuh rela
Biar dimamah arus usia
Tidak pernah kenal derita
Bagai sungai kasih yang mengalir
Tiada penghentiannya, tak bertebing
Duhai ibunda kaulah anugerah istimewa
Berkorban jiwa raga redahi hidup nan mencabar
Berusaha dan sabar dalam mengharungi derita
Hidupmu penuh ranjau meniti kepayahan yang tiada kesudahan
Tidak sekali mengharapkan dibalasi permata
Cukup engkau rasa bahagia
Lihat anak-anakmu berjaya
Kau penawar hati duka
Walau hatimu terluka
Engkau ibu engkaulah bapa
Pabila ayah tiada
Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasamu
Kerana Tuhan saja yang tahu penderitaanmu
Wahai bonda


_saifulislam.com_ 

BERCINTA SAMPAI KE SYURGA

 BERCINTA SAMPAI KE SYURGA

Di sini ku berjanji disaksi rembulan
Andainya ku pergi dulu
Jikalau ku pergi dulu
Ku nantimu di pintu syurga
                Pasangan yang bercinta, mereka mencari syurga. Mencari bahagia dan kepuasan santapan jiwa. Biar runtuh awan di langit, biar gegar di lantai bumi, lautan api sanggup direnangi. Itulah kuasa cinta. Pengorbanan yang ditawarkan demi sebuah cinta, yang menjanjikan bahagia.
Tiada insan yang sengaja mencari derita. Seperti ikan mencari air, si dahaga mendamba seteguk minum, mata mengantuk mencari bantal, demikianlah setiap insan mengerumuni cinta. Demi sesuatu yang menjanjikan bahagia.
              Namun dalam asyiknya manusia bercinta, di kala itu jualah manusia semakin derita. Rumahtangga musnah, hidup berantakan. Tatkala inai masih di jari, anak belum pun sempat berdiri, tiang rumah dan tangga cinta roboh dirempuh badai.
Luar biasa…
              Mereka bukan dipaksa menerima. Kahwin itu bukan kahwin dera atau kahwin paksa. Ia adalah cinta sama cinta, suka sama suka. Jika kedua belah pihak sudah saling menerima dan kenal isi kulit pasangan sehati sejiwa, di manakah cacat di manakah celanya hingga hujan tidak sempat menunggu petang?
Bukankah syurga dunia yang dibina itu mahu dilangsungkan hingga ke Syurga Sana?
43_67
Pada hari itu teman-teman akrab setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang perhubungannya berdasarkan Taqwa [al-Dzukhruf 43: 67]
Itulah realitinya.
Bahawa biar sehangat mana pun cinta yang membakar perhubungan dua insan yang berkasih sayang, mereka akan menjadi musuh di antara satu sama lain di padang Mahsyar. Jika dahulunya mereka menolak pertolongan yang ditawarkan demi kebahagiaan sebenar, hari itu mereka pula saling bermusuh dengan permusuhan yang tidak lagi mampu ditolong.
Mengapa cinta menjadi permusuhan?
Apakah yang menguji manusia di Mahsyar hingga pasangan yang akrab menjadi musuh yang saling mementingkan diri?
Sesungguhnya Mahsyar itu mengheret manusia kepada sebuah TEKANAN. Itulah ujian terbesarnya. Segala yang didustakan selama ini terbentang di depan mata. Barulah kelihatan kesan segala perbuatan. Bahawa dunia memang sementara, namun kesan amal berkekalan selamanya. Dan hari Mahsyar itu setiap insan berada di bawah TEKANAN yang maha dahsyat.
Ibu sanggup menggadaikan anak demi untuk menyelamatkan diri.
Dua kekasih sanggup mengorbankan pasangannya demi terbebas dari seksaan yang sedang menanti.
Dalam keadaan yang begitu terdesak dan penuh tekanan, cinta berubah menjadi permusuhan. Dua kekasih saling menyerang pasangan masing-masing, mementingkan diri, demi sebuah keselamatan.
Kecuali manusia bertaqwa.
Wahai pasangan yang bermadu kasih, ingatkah kalian pada khutbah yang mengiringi lafaz AKU TERIMA NIKAHNYA suatu hari dahulu?  Tiga ayat yang dibacakan kepadamu, segalanya berbicara tentang TAQWA.
khutbahnikah
                 Pesan itu adalah pesan Tuhanmu. Pesan yang disampaikan di lisan Nabimu. Pesan yang diperpanjangkan kepada khutbah nikahmu. Bahawa tiada bahagia tanpa taqwa. Hanya derita pemusnah cinta, manusia tersungkur di pantai derita, meneguk neraka dunia sebelum Neraka di Sana.
Neraka dunia yang menghancurkan bahagia datang bersama tekanan. Ujian yang amat menghimpit beban. Soal anak, soal pekerjaan, soal keinginan, soal ketidakpuasan, soal kemahuan, soal kesangsian. Rumahtangga yang belayar di tasik madu, menjelang senja dihiris sembilu.
“Lepaskan saya. Saya sudah tidak sanggup lagi,” bentak isteri yang terbeban oleh tekanan perasaan.
“Sabarlah isteriku. Mari duduk mencari petunjuk,” pujuk suami dengan linangan air mata.
Anak-anak menggeletar terperosok di sudut gementar. Melihat ayah dan ibu bergaduh cakar mencakar.
“Bukankah kami hadir kerana cintamu?” bisik si anak kepada hatinya, merayu kepada Tuhan agar mendamaikan sepasang insan tempat dirinya berpaut hidup.
“Sudah-sudah. Tidak perlu dibincang-bincangkan lagi. Lepaskan saya. Hantarkan saya balik ke rumah emak di kampung!” si isteri terus mengamuk.
“Bagaimana dengan anak-anak kita?” suami merenung wajah anak-anak yang kebingungan. Terasa hangat pipi dihujani hiba.
“Semuanya salah abang. Sudah berapa kali saya beri peluang. Abang masih tidak berubah. Abang bekerja untuk keluarga, hingga hancur keluarga. Kalau selama ini kami bahagia tanpa abang, kenapa perlu lagi saya menderita menanti abang. Saya ada cita-cita sendiri!” si isteri mengesat wajahnya dengan lengan. Kata-katanya penuh simpang siur perasaan. Tidak pasti apa yang dimahukan.
Kecuali sebuah penceraian…
Suatu hari nanti
Kau akan tahu sucinya cintaku
Kau akan menyesal
Dan kau sebut namaku selalu
Suatu masa nanti
Kan terhurai segala rahsia
Bahawa cintaku kepadamu
Abadi selamanya
Kau akan menangis
Menatap gambarku
Gambar-gambar kita
Pasangan yang istimewa
Oleh itu kasih
Janganlah terburu
Jangan ikut rasa
Kelak jiwa kan merana
Perkara yang kecil
Jangan suka dibesar-besarkan
Perkara yang samar
Jangan pula dibenar-benarkan
Usahlah dibunuh
Kecintaan ini
Biarkan bersemi
Sampai kekal dan abadi
Lagu dan Lirik: Suhaimi Mior Hassan
                Tekanan bukan sahaja menjadikan seorang kekasih memusuhi kekasihnya di Akhirat, bahkan tekanan itu juga menghilangkan cinta tatkala menempuh kehidupan dunia. Hingga tidak sempat-sempat menuju penceraian, semata-mata ingin lari daripada sebuah tekanan.
Itulah yang banyak berlaku hari ini.
                Pelik sekali, setelah ghairah bercinta kita melangkah ke alam rumahtangga. Belum sempat anak membesar bergegas pula menuju penceraian. Dan janggal sekali, selepas bercerai barulah timbulnya damai. Boleh keluar makan bersama, boleh bergilir melayan anak-anak. Suami isteri payah serasi, biar sekadar teman yang mesra. Semuanya kerana gagalnya manusia, menguruskan tekanan, realiti kehidupan.
               Justeru wahai insan yang mabuk cinta, siasatlah benang yang menyulam kasihmu. Apakah ia sebuah taqwa, atau cinta buta yang tidak berpijak di bumi nyata?  Sesungguhnya cinta yang tidak bersendikan taqwa adalah cinta yang berakhir dengan permusuhan. Jika tidak di neraka dunia, pastinya Neraka abadi di alam Sana.
43_67i
“… kecuali orang-orang yang bertaqwa” [al-Dzukhruf 43: 67]
43_68-70
“(Mereka diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firman-Nya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan dan kamu pula tidak akan berdukacita. (Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh.(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu, dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan” [al-Dzukhruf 43: 68-70]

             Tidak mungkin Syurga di Akhirat menjadi habuan kita, andai dunia bersalut neraka. Dunia ladang Akhirat, apa yang disemai pada hidup yang sementara ini, itulah tuaian di Akhirat yang kekal abadi.
Berjuanglah berbekalkan taqwa untuk mengharungi epilog sebuah cinta, hingga terkecap syurga dunia.
Berjuanglah sampai mengecap bahagia perjuangan, rumahku syurgaku, baiti jannati
Kejayaan bukan sebuah destinasi, ia adalah sebuah perjalanan.

Bercintalah sampai ke Syurga, wahai dua insan bercinta.

-saifulislam-

Rabu, 2 Mac 2011

Nasihat abangku...

“Abang, betul ke kalau Allah sayang kita, Dia akan uji kita dengan banyak ujian?” satu soalan singgah ke peti masuk mesej telefon saya.

“Macam mana kalau tak betul?”

Kepada adikku, inilah jawapan abangmu.

Adikku,
apabila kamu persoalkan kasih sayang manusia kepada kamu, maka abang sangat berlapang dada bahawa manusia ini memang terlalu nipis lapis kasih dan sangat kecil pula kotak sayang yang mereka miliki. Banyak terjadi bayi kecil dibuang ke serata pelusuk yang tidak layak, para pemimpin pula sibuk mengeringkan tabungan rakyat laksana buaya lapar yang dahagakan mangsa.


Tetapi yang kamu persoalkan ini adalah kasih sayang Tuhan-Mu. Dia yang dengan jelas menyebut diri-Nya sebagai Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, di setiap surah di dalam Al-Qur’an. Adakah sejak abang ke sini lantas kamu juga meringankan tilawah yang wajib ini?


Jika benar, maka mari abang mengajakmu supaya kita sama-sama menyelak kembali lembaran suci yang setiap ayatnya membersihkan jiwa ini. Perhatikan, bahawa Allah telah memberi peringatan kepada kita pada ayat 36 dan 37 Surah Ar-Rum dengan firman-Nya,


“Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa. Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.”



Ujian kesempitan adalah hasil kecuaianmu


Adikku, apakah rasamu mendengarkan ayat Alllah di atas? Tidakkah kamu melihat kesenangan dan kemudahan hidup sebagai ujian Allah, sama seperti kesempitan hidup yang kamu dakwakan sedang Allah timpakan kepada kamu sekarang?


Fikirkan juga wahai adikku, semua kesusahan yang kamu deritakan ini hanyalah berpunca dari kelalaianmu sendiri. Kamu gagal mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaanmu, bukankah itu natijah dari kemalasan dan kekurangan strategimu dalam mengulangkaji pelajaran? Atau kamu masih angkuh menafikannya?


Kemudian, kamu sibuk mengatakan ummi asyik marahkan kamu, kawan-kawan pula gemar menaikkan darahmu, kenanglah semula wahai adikku. Sejauh mana kamu berakhlak dengan mereka? Apakah kamu benar-benar berlaku adil dengan mereka? Bahkan sekalipun kamu sudah berakhlak sebaiknya dengan mereka, sepatutnya kamu ingat kepada baginda Nabi sebagai manusia yang luar biasa akhlaknya tetap juga dilukai manusia.


Namun, jika ujianmu benar terlalu berat, tiada apa yang dapat abang nasihatkanmu melainkan mengajakmu supaya sentiasa bersabar. Bersabar, bersabar, dan teruslah bersabar kerana untuk orang-orang yang bersabar, ganjarannya adalah seinfiniti pahala. Itu janji Tuhan. Bersabarlah kerana deritamu ini sangat sedikit berbanding kehidupan akhirat nanti. Adakah dapat kamu bayangkan kesusahan dunia sekitar empat, lima tahun, puluhan tahun sekalipun jika dibandingkan dengan kebahagiaan akhirat yang tahunnya tidak akan habis?


Hidup ini bukanlah selama-lamanya, bahkan bukan lama pun. Apabila sudah hidup, maka bersedialah pula untuk mati. Ingatlah kepada kematian, fikirkanlah tentang akhirat, kamu akan insaf nanti.



Ujian ini nikmat keimanan


Adikku, tidakkah kamu mengaku bahawa kamu ini orang beriman. Sedangkan jika benar, pastinya kamu pernah mendengar firman Allah ini,


“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 3 dan 4.


Sekarang, persoalkan dirimu sendiri, mana bukti keimananmu? Adakah layak kamu mengaku beriman kepada Allah, kepada rasul-Nya, sedangkan kamu tidak yakin bahawa ujian ini daripada-Nya untuk menguji keimananmu?


Para sahabat nabi, mereka membenarkan iman mereka dengan menyediakan leher-leher mereka di medan perang untuk mengembangkan Islam. Bahkan seluruh para tabiin, hidup mereka tiada keseronokan melainkan dalam keasyikan bersama ujian dan tarbiyah daripada Allah. Maka jika ini menjadi bukti keimanan mereka, mengapa kita tidak sanggup membuktikan keimanan dengan menghadapi ujian hidup ini bersama kesabaran terhebat yang mampu kita persembahkan?



Alangkah baiknya bahawa yang mengatur adalah Allah.


Adik, hidup kita semalam, pagi tadi, dan sekarang Allah yang atur. Malah kalau kita mati sekejap lagi, itu pun Allah yang atur. Bukankah sangat baiknya hidup kita ini yang mengaturnya adalah Allah?


Atau fikirmu bahawa kamu sendiri dapat mengaturkan hidupmu dengan cara yang kamu sendiri mahu? Urusan kebahagianmu kamu uruskan sepenuhnya, tanpa cahaya petunjuk daripada Allah. Begitukah yang kamu mahu?


Jika kamu menjawab tidak, maka kembalikanlah keyakinanmu. Tuhan tidak mengujimu dengan sia-sia. Bahkan dia merancang untuk kamu kebaikan yang tidak dapat kamu bayangkan.


Pernah suatu hari Saiyidina Umar datang menghadap nabi dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu apabila dia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan, dia terus mengambil bayi itu lalu mendakapkannya ke perut untuk disusui.


Lalu Rasulullah saw. bersabda: Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? Para sahabat menjawab: Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya. Rasulullah saw. bersabda: Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya.


Adik, ummi sayangkan kamu pun tidak sampai 0.001 peratus daripada Tuhan sayangkan kamu!

Ahad, 23 Januari 2011


        Masuk ke Syurga kerana Kemurahan Allah
                 
               Assalamualaikum.. Kiriman doa buat ashab di luar sana yang ku sayangi kerana Allah.. Alhamdulillah, ana di sini sentiasa berusaha meningkatkan kualiti diri walaupun kekadang terasa lemah..doakan ana selalu.. Di sini ana ingin berkongsi sebuah kisah kepada sesiapa yang rindukan syurga Allah..
              
                Diceritakan dalam sejarah, dahulu kala hiduplah dua orang adik beradik. Anak pertama ahli taat dan ibadah, sedangkan anak yang kedua ahli maksiat dan dosa.
                
               Setelah sekian lama, ajal anak yang beriman itu makin mendekat. Lalu dia meninggal dunia. Ibunya tidak sedih dan tidak gelisah ditinggal olehnya. Setelah sekian lama, anak si ibu yang fasik dan ahli maksiat itu sakaratulmautnya pula makin mendekat. Ibunya sangat sedih dan takut. Si ibu menangisi nasib anaknya itu.
                
              Anaknya itu bertanya kepada ibunya, “Saudaraku yang lebih utama daripadaku itu pada waktu mati ibu merasa tenang, tetapi ketika aku akan mati, mengapa ibu meras begitu takut?” Ibunya menjawab, “Kerana dia itu suci dan mulia. Di alam barzakh dan hari kiamat dia dalam kenikmatan. Akan tetapi, kerana kamu di dunia berlumuran dosa, aku menjadi sedih.”
               
             “Ibu, jika saudaraku memiliki amal soleh dan punya bekal di akhirat, aku pun memiliki kemurahan Allah. Aku bertaubat dan akan pergi kepadaNya dengan berharap pada kemurahanNya. Engkau ibuku, engkau tidak kuat menahan azab yang menimpaku, padahal cinta Allah sangat besar kepadaku.”
                  
               Setelah mengatakan demikian, dia meninggal dunia. Setelah itu si ibu bermimpi dalam tidurnya menyaksikan anaknya itu mencapai darjat yang tinggi. “Ibuku sayang,mereka menempatkan aku di syurga tujuh puluh darjat lebih tinggi daripada saudaraku. Saudaraku diberi balasan atas amalannya, sedangkan aku, diberi balasan atas kemurahan Allah.” 
                 
               Wahai ashab yang ku sayang, Allah pasti akan menolong, memaafkan dan mengampuni kita kalau kita benar-benar bertaubat. Berapa kali pun dan seberapa besarnya dosa itu, Allah akan mengampuni orang yang berdosa. 
               Namun, kemurahan  dan pengampunan Allah janganlah kita jadikan alasan untuk berulangkali melakukan kesalahan. Walaupun allah akan mengampuni, kita tidak sepatutnya  berulangkali melakukan dosa kerana akan menzalimi diri sendiri. Semoga kita berusaha untuk lebih dekat kepada Allah dan menjadi orang yang taat kepadaNya.

                                      

                             “Jika mati itu ada dijual di pasar,
orang yang mencintai Allah pasti akan membeli mati itu..”

POSTED BY: NURUL IMAN SUBRI
                        Isteri Cerdik yang Solehah

          Sebaik-baik perhiasan di dunia adalah wanita solehah. Tidak hairanlah sesiapa yang memiliki isteri bak rupawan, tetapi tiada akidah islamiyyah sebenar-benar perawan. Kita tidak dinilai Allah dari sudut rupa paras, malah pandanganNya terhadap keimanan dan ketaqwaan kita padaNya.
             
            Seorang pemuda yang hidup dalam lingkungan maksiat telah berkahwin dengan seorang wanita solehah. Mereka dianugerahkan Allah beberapa orang cahaya mata dan di antara mereka ada yang bisu dan tuli. 
           
              Meskipun demikian, si ibu bertekad mendidik mereka dengan baik. Si ibu mengajar mereka cara solat dan berjemaah di masjid sejak usia kecil lagi. Ketika berusia tujuh tahun, anak-anak ini menyaksikan kelakuan ayahnya yang menyimpang dari agama. Berkali-kali dia menasihati ayahnya agar meninggalkan perbuatan mungkar dan membiasakan diri untuk solat, namun usaha mereka sia-sia.
             
              Suatu hari, anak ini datang kepada ayahnya. Air matanya bak butiran mutiara berderai atas pipinya yang lembut itu. Dia meletakkan al-Quran di depan ayahnya. Dia membuka surah Maryam dan meletakkan jarinya atas firman Allah, “Wahai bapaku, sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan ditimpa azab Allah dari Rabb yang Maha Pemurah, maka kamu menjadi kawan bagi syaitan.” Anak itu menangis tersedu-sedu..

              Ayahnya sungguh tersentuh dengan kelakuan anak itu. Dia turut menangis bersama anaknya. Allah berkehendak membuka tabir hidayah di dalam hati ayahnya melalui anaknya yang soleh. Si ayah menyeka air mata anaknya itu, memeluknya dan mengajaknya ke masjid. Ayahnya benar-benar berubah. Mereka hidup dalam sebuah keluarga bahagia.

             Inilah buah hasil kebaikkan isteri. Mendidik agama kepada anak-anak dengan kesabaran. Dapatkanlah wanita yang beragama, nescaya engkau akan bahagia..!


“Kalau bukan kerana peringatan,
tidaklah seseorang akan menjadi sedar..”
posted by: NURUL IMAN SUBRI 

Kedermawaan Seorang Petani URWAH BIN ZUBAIR

                 
                  Urwah bin Zubair adalah seorang yang ringan tangan dan dermawan. Antara bukti kedermawaannyan itu adalah ketika beliau memiliki sebidang kebun buah yang luas di Madinah dengan air telaganya, pepohonan yang rendang serta buahnya yang lebat. Beliau memasang pagar yang mengelilinginya untuk mengelakkan daripada binatang perosak. Sehingga musim berbuah dan masak, barulah pintu pagar tersebut dibuka kepada sesiapa yang ingin memakannya.
                  
                 Ternyata ramai orang yang keluar masuk ke kebun Urwah untuk menikmati buah-buahan yang masak ranum. Rupa-rupanya, rahsia kebun beliau subur ialah setiap kali memasuki kebun, beliau sering mengulang-ulang firman Allah yang bermaksud, “Dan mengapa  kamu tidak mengucapkannya tatkala kamu memasuki kebunmu “Maasya-Allah, laa quwwata illa billah (sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah).” (Surah Al-kahfi:39)
                
                Wahai saudara sekalian, lihatlah sekarang, berapa ramai orang yang sanggup dan ikhlas bersedekah dan memberi makan hasil tanamannya pada orang lain?? Sedangkan Urwah sanggup membenarkan kepada sesiapa sahaja yang ingin menikmati buah-buahannya bahkan sebelumnya beliau memagari kebunnya daripada serangan haiwan perosak semata-mata untuk menjaga kualiti tanaman untuk disedekahkan kepada orang lain.
                  
                 Manakala petani-petani sekarang sering merungut akan hasil tanaman mereka. Kadang-kadang mereka tidak pernah redho akan bencana yang dihadapi. Tetapi, apabila hasil tanaman mereka subur dan berhasil, mereka mempercayai hanya baja kualiti dan ‘skill’ pertanian mereka yang lebih hebat. Mereka lupa bahawa yang berkuasa menghasilkan semua itu adalah tuhan sekalian alam ALLAH S.W.T bahkan tidak terucap sekalipun ALHAMDULILLAH dari lisan mereka.
                
                 Berbeza sekali dengan pegangan Urwah, setiap kali beliau memasuki kebunnya, beliau sering mengulang-ulang, “Maasya-Allah laa quwwata illa billah,” inilah rahsia kesuburan tanamannya yang perlu petani-petani di luar sana amalkan, bukan hanya mengeluh dan menunggu rezeki turun dari langit, tetapi berusaha, ikhtiar, doa dan tawakkal kepada Allah. Moga-moga usaha kita diredhoiNya dan tergolong dalam golongan yang bertaqwa.


                                               “Semulia-mulia masa ialah masa
                          yang digunakan dalam mentaati Allah..”           


    ~POSTED BY:     NURUL IMAN SUBRI~

Istighfar Pembuat Roti

        Istighfar Pembuat Roti
           

                   Allah memerintahkan hamba-hambaNya untuk bertaubat dan beristighfar sebanyak- banyaknya kerana setiap manusia tak terlepas dari melakukan kesalahan. Dia juga menyifatkan diriNya sebagai al-Ghaffar iaitu Maha Pengampun. Dia memuji orang-orang yang istighfar dan menjanjikan pahala yang agung.
                       
                     Berikut adalah peristiwa yang pernah terjadi pada zaman Imam Ahmad bin Hanbal. Suatu hari Imam Hanbal ingin menghabiskan malamnya di masjid, tetapi penjaga masjid melarangnya berbuat demikian walaupaun setelah Imam berusaha memujuknya malah dia mengusir Imam dari masjid itu. Mujurlah Imam seorang tua yang merendah diri, sabar, soleh dan bertaqwa.
                       
                         Tiba-tiba datanglah seorang pembuat roti. Melihat keadaan Imam yang seperti itu, pembuat roti berasa kasihan dan menawarkan agar Imam menginap di rumahnya. Imam lantas pergi ke rumah pembuat roti dan melayaninya sebagai tetamu. Tatkala pembuat roti itu mengadun dan menguli tepung rotinya itu, Imam mendengar pembuat roti itu selalu beristighfar dan terus istighfar. Imam berasa amat kagum.
                                     
                         Ketika subuh, Imam bertanya kepada pembuat roti mengenai istighfar yang dibacanya sepanjang malam. Pembuat roti menjawab bahawa selama membuat adunan dia sentiasa beistighfar. Imam lantas bertanya, “Adakah kamu menemui hasil dalam istighfarmu itu?” Padahal sebenarnya Imam mengetahui keutamaan dan faedah istighfar.

                         Pembuat roti menjawab, “Benar, demi Allah setiap kali aku berdoa selalu dikabulkan kecuali satu doa yang belum dikabulkan,” Imam bertanya, “Doa apa yang belum dikabulkan itu?” Pembuat roti berkata, “Doa supaya boleh melihat Imam Ahmad bin Hanbal,” Imam Ahmad berseru, “Akulah Imam Ahmad bin Hanbal. Demi Allah, aku benar-benar ditarik supaya ke sini untukmu,”

                        Subhanallah…..wahai saudara sekalian, lihatlah ganjaran yang Allah berikan di luar jangkaan kita. Mengapa kita masih ragu-ragu lagi akan janji-janjiNya bagi sesiapa yang taat padaNya..? Ayuh saudara, marilah kita istighfar bersama-sama…

  

         “Perbanyakkanlah istighfar di mana-mana saja,
kerana kamu tidak tahu bila masanya akan turun keampunan Allah..”


-POSTED BY NURUL IMAN SUBRI-