Istighfar Pembuat Roti
Allah memerintahkan hamba-hambaNya untuk bertaubat dan beristighfar sebanyak- banyaknya kerana setiap manusia tak terlepas dari melakukan kesalahan. Dia juga menyifatkan diriNya sebagai al-Ghaffar iaitu Maha Pengampun. Dia memuji orang-orang yang istighfar dan menjanjikan pahala yang agung.
Berikut adalah peristiwa yang pernah terjadi pada zaman Imam Ahmad bin Hanbal. Suatu hari Imam Hanbal ingin menghabiskan malamnya di masjid, tetapi penjaga masjid melarangnya berbuat demikian walaupaun setelah Imam berusaha memujuknya malah dia mengusir Imam dari masjid itu. Mujurlah Imam seorang tua yang merendah diri, sabar, soleh dan bertaqwa.
Tiba-tiba datanglah seorang pembuat roti. Melihat keadaan Imam yang seperti itu, pembuat roti berasa kasihan dan menawarkan agar Imam menginap di rumahnya. Imam lantas pergi ke rumah pembuat roti dan melayaninya sebagai tetamu. Tatkala pembuat roti itu mengadun dan menguli tepung rotinya itu, Imam mendengar pembuat roti itu selalu beristighfar dan terus istighfar. Imam berasa amat kagum.
Ketika subuh, Imam bertanya kepada pembuat roti mengenai istighfar yang dibacanya sepanjang malam. Pembuat roti menjawab bahawa selama membuat adunan dia sentiasa beistighfar. Imam lantas bertanya, “Adakah kamu menemui hasil dalam istighfarmu itu?” Padahal sebenarnya Imam mengetahui keutamaan dan faedah istighfar.
Pembuat roti menjawab, “Benar, demi Allah setiap kali aku berdoa selalu dikabulkan kecuali satu doa yang belum dikabulkan,” Imam bertanya, “Doa apa yang belum dikabulkan itu?” Pembuat roti berkata, “Doa supaya boleh melihat Imam Ahmad bin Hanbal,” Imam Ahmad berseru, “Akulah Imam Ahmad bin Hanbal. Demi Allah, aku benar-benar ditarik supaya ke sini untukmu,”
Subhanallah…..wahai saudara sekalian, lihatlah ganjaran yang Allah berikan di luar jangkaan kita. Mengapa kita masih ragu-ragu lagi akan janji-janjiNya bagi sesiapa yang taat padaNya..? Ayuh saudara, marilah kita istighfar bersama-sama…
“Perbanyakkanlah istighfar di mana-mana saja,
kerana kamu tidak tahu bila masanya akan turun keampunan Allah..”
-POSTED BY NURUL IMAN SUBRI-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan